8 Sep 2013

Lurus

Dari sini sampai situ hanya satu garis lurus.
Belum tentu itu 'jalan lurus'.
Tak juga ianya 'meluruskan'.
Chakra diri saja mampu menilai tahap kelurusan.

Mengikut ketulusan.
Cara kau dan tuhan berurusan.
Adakah berterusan?
Atau mudah bosan?

Dasar manusia picisan!

3 Sep 2013

Impak Hati

Hidup ni memang sukar.
Semakin aku meningkat dewasa semakin kesukaran itu melangkah ke tahap yang baru.
Beberapa bulan sebelum ni aku dilanggar beberapa bala bencana yang sebenarnya sampai hari ni bala bencana itu masih ada.

Impaknya kuat.
Cukup kuat sampai hati ini hampir hilang deria rasanya.
Kuat sampai jiwa ini tak mampu diterjemahkan melalui tulisan.
Semakin hari semakin kosong.
Aku cuma harap deria si hati akan pulih dalam masa terdekat.

Semoga cepat sembuh ya, hati.

9 Mei 2013

Lalang


Angin sepoi sepoi bahasa. Lalang ikut. Lalang itu statik namun lembut. Arah angin yang menentukan kemana telunjuknya. Tiada angin, kaku lah lalang. Kuat pukulan angin, maka tertunduk tunduk lah lalang. Ribut, nescaya tak keruan pergerakanya.

Kau itu tiada pendirian. Kau itu kerjanya mengikut dengan kuku besi yang mengawal kau. Atau mungkin kau yang mahu di kuku besikan. Corak kau betgantung kepada betapa kuatkan pukulan si kuku besi yang kau ikut itu. Dalam arti kata lain kau dalam situasi angin kuat yang memukul lalang. Atau mungkin ribut.

Namun,
Lalang ini utuh. Kau rachun lah kerap mana sekalipun. Kau cantas lah sependek mana sekalipun. Kau cabut la serajin mana sekalipun. Bila tinggalnya sesentimeter akar sekalipun, dia tetap akan membesar.

Duhai lalang.

Panji


Usung.
Junjung.
Kibar.
Laung.
Takbir.

Kau kata ini panji kebenaran.
Kau kata ini panji demokrasi.
Kau kata ini tanda sokongan.
Kau kata ini tanda kaum bersatu.

Tiba tiba,
Lalu satu orang.
Berlainan panji.
Cemuhan dan kejian kau lemparkan.
Kaumnya sama dengan kau.
Mana kaum bersatu yang kau maksudkan tadi?

Memang kau percaya nasib itu ditentukan atas panji ini?
Memang kau percaya panji ini membawa kebenaran?
Memang kau percaya kebenaran yang digengam; menghalalkan cemuhan?

Hakikatnya,
Usungan kau itu kosong.
Junjungan kau itu kosong.
Kibaran kau itu kosong.
Laungan kau itu kosong.
Atau mungkin takbir kau itu kosong.

Apa panji ini tandanya permusuhan?
Apa panji ini tandanya persengketaan?
Apa panji ini tandanya perkauman?
Apa panji ini tandanya keadilan?

Tanya diri.

Soalan Bodoh


Papan landai yang mempunyai kaki. Berbentuk empat segi. Mempunyai kerusi. Di situ aku labuhkan punggung yang sering mengeluarkan picisan sisa badan ini.

Duduk.
Berbicara.
Topik.
Luahan.
Pandangan.

Konteks dalam pertemuan. Kau, aku, dia duduk. Berbicara dari topik ke topik. Aku lemparkan luahan. Juga pandangan. Kau cuba berjenaka. Soalan bodoh kau usulkan. Aku dengar. Diam. Sebab bodoh. Bodoh dengan soalan bodoh kau.

Bisik.
Mengata.
Memerli.
Menghina.

Bisiknya pada teman lain. Katanya aku ini serba tahu. Mengatanya aku ini pura pura bijak tahu. Perlinya kebodohan aku. Sedikit dalam nada menghina.

Aku bodoh kerana soalan bodoh. Aku diam kerana malas berdiskusi dengan orang bodoh. Aku tahu kesudahannya akan bodohkan aku dan kau. Mungkin kau rasa diam itu tanda bodoh. Bagi aku diam itu mengelak bodoh dari soalan bodoh.

Bodoh!

2 Mei 2013

Mati

Aku memandang lampu berair biru.
Menghirup udara hening malam.
Kota tak sama seperti di pekan semalam.
Semuanya berubah apabila kelip kelip tidak bercahaya.
Aku masih melihat lampu berair biru ini.
Tanpa perasaan.
Tanpa mata bersinar.
Kenapa ya?

Mati.


p/s: hak cipta terpelihara 'Bumiwanita Halus' yang dikirimkan melalui pesanan ringkas. Terimakasih. Oh ya, kali ini aku pula yang beri tajuknya.

22 Apr 2013

Modernisasi Minda Mu, Kawan


Kawan,
Buka minda mu.
Minda itu bukan untuk dikunci.
Jangan fikir sekadar kau mampu.
Fikir dalam dalam sampai tahap terperinci.

Kawan,
Permulaan zaman millenium dah lama pergi.
Manusia hari ini sudah pandai berfikir luar landasan paksi.
Kenapa kau masih di dalam perigi?
Kau harus keluar dari kebodohanisasi.

Kawan,
Yang pergi club itu semuanya sundal.
Yang hisap dadah itu semuanya penagih.
Kalau kau percaya kau bebal.
Apa kau fikir yang berhijab saja yang perangainya cantik seperti isi manggis?
Kadang kadang yang separuh bogel itu lagi mulia dari perempuan sundal.

Kawan,
Spekulasi bukan untuk dimodifikasi.
Minda bajingan mu tidak mahir dalam fabrikasi.
Jangan ditunggang terbalikan keadaan sampai jadi konspirasi.
Kelak kau mengundang konfratasi.

Kawan,
Bangkitlah dari kematangan sekolah rendah itu.
Hindarkan diri dari anggap hidup di dalam drama swasta.
Penuh konflik yang tipikal zaman batu.
Era modernisasi ini luas pandangan bukan hanya dimata.

Kawan,
Anak itik tok wi mandi dalam kolam,
Pejam celik pejam,
Kau masih di perigi ; tengelam.